Tuesday, July 6, 2010

Kenali Dr Hafizi Mohd Nor

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor berusia 49 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. Berkelulusan PhD Zoology (University of Aberdeen, Scotland) dan kini bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia. Berkahwin dengan Hajjah Zuraidah Kornain dan dikurniakan tiga orang cahayamata.

Beliau merupakan pendakwah dan aktivis kemasyarakatan sejak masih menuntut di universiti sehinggalah hari ini. Antara jawatan yang pernah dan sedang disandang oleh beliau ialah Pengerusi JIM INTERNATIONAL (1999 – 2000), Setiausaha Agong JIM (2001 – 2003), Mantan Naib Presiden JIM (2004 – 2005) dan Pengarah PACE (Palestine Centre of Excellence). Beliau juga sering menjadi tetamu Jemputan dan wawancara (TV/Akhbar Harian/Majalah), Radio IKIM (Ruangan Duniaku Buku dan Slot Fast-2-Fund untuk Palestin), Media Prima: TV3 (Buletin Utama), Astro Awani dan aktif menulis dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, Majalah i, Majalah ANIS, Majalah Ummi.

Selain dari itu, beliau juga sering dijemput untuk mengendalikan kursus-kursus motivasi belajar dan persediaan menghadapi peperiksaan di sekolah-sekolah. Beliau juga menyampaikan kuliah bulanan mengenai Sejarah Islam di Nusantara di Masjid Negeri Shah Alam dan beberapa buah masjid dan institusi di sekitar Kuala Lembah Kelang.

Kasihnya Pada Palestin

Kasihnya pada Palestin memang tidak terungkap oleh kata-kata. Beliau begitu komited dalam memperjuang isu Palestin secara aktif semenjak tahun 1999. Tanpa penat lelah. Ketika sihat dan sakit. Beliau secara berterusan berceramah di surau, masjid, pejabat, kilang, sekolah, jabatan dan institusi kerajaan.

Program kecil atau besar, selagi ia atas nama Palestine, dia akan berdiri penuh bersemangat memberikan pengisian dan perkongsian. Tidak sedikit program kecil dan besar yang beliau sertai. Cukuplah disenarai beberapa program diantara banyak program yang melibatkan beliau.

Antaranya program Nakbah dengan Kerajaan Negeri Kedah pada bulan Jun 2008, Program bersama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Perlis pada bulan Julai 2008 dan Forum al Quds anjuran gabungan NGO Indonesia di Jakarta pada bulan Ogos 2008.

Selain dari isu palestin, keprihatinannya terhadap keadaan umat Islam memang tidak pernah disembunyikannya. Beliau pernah mengulas dan menjadi ahli panel isu-isu antarabangsa Umat Islam – Kempen Bantah Serangan Afghanistan dan Kempen Anti Perang Iraq.

Beliau juga tidak melepaskan kesempatan untuk bersama dalam misi-misi kemanusiaan, antaranya:

Menyertai misi kemanusiaan ke Mindanao (pasca perang tahun 2001) - melawat kem-kem pelarian umat Islam di Cotabatu dan Maguindanao.
Mengetuai misi kemanusiaan ke Maluku ketika berlaku rusuhan RMS (Republik Maluku Selatan) dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Maluku (2000).
Mengetuai misi Kasih Aceh pasca tsunami pada tahun 2005 di bawah anjuran JIM-PKS (Indonesia).

Rindunya Pada Kegemilangan Ummah dan Islam

Rindunya pada kegemilangan ummah dan Islam sering dilontarkan dalam penulisan dalam forum maya atau media cetak. Beliau bukan sahaja berkongsi ilmu malah mendidik masyarakat melalui penulisannya. Antara buku-buku penulisan beliau ialah:

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang
Panel Penulis Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP)
Panel Penulis Ensaiklopedia Sains untuk pelajar (DBP)
Israel: Kenapa Dunia Tidak Boleh Mengiktirafnya (JIMedia)
Berdamai Dengan Israel Berapa Harganya? (JIMedia)
Dalang di Palestin: Hamas atau Israel? (JIMedia & PACE)
Jejak Risalah di Nusantara 1: Dari Pra Islam Hingga Era Admiral Muhammad Cheng Ho (JIMedia)
Lambaian Kaabah (Penulisan bersama isteri Zuraidah Kornain) (JIMedia)
Air Mata Gaza (Penulisan bersama dengan Ustaz Maszlee & Ir Megat Sharifuddin) (JIMedia & PACE)

No comments:

Post a Comment